Isnin, 9 April 2012

PERIBAHASA MELAYU

Assalamualaikum..

Peribahasa Melayu merupakan salah satu daripada jelmaan intelektualiti penutur bahasa Melayu. Ia diungkap menerusi bahasa yang indah-indah. Setiap ungkapan yang tercipta disusun dan dipadan dengan sedemikian rupa untuk membolehkan idea, rasa dan buah fikiran pengungkapnya dapat diserlahkan dengan lebih bermakna. Justeru itu, menerusi peribahasa ini, penutur bahasa Melayu berjaya mengungkap falsafah yang mendalam tentang aspek-aspek ketamadunan, pemikiran, ethos dan moral bangsa Melayu sejak sekian lama (Abdul Samad Idris, 1990:ix). Sebagai kesinambungannya, peribahasa terus dicipta dan berkembang dalam kalangan masyarakat pada hari ini sejajar dengan peredaran masa dan tuntutan persekitaran. Sehubungan itu, amat bertepatan sekali aspek peribahasa turut dimuatkan ke dalam Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu.

Ciri dan Tujuan Penggunaan Peribahasa

Peribahasa dikatakan sebagai cerminan watak bangsa yang memilikinya. Di samping itu peribahasa juga penting dalam konteks penelitian warisan dan keterampilan pengguna bahasa. Ini kerana dalam peribahasa tersirat makna yang cukup mendalam dan tepat sehingga membolehkan komunikasi lisan atau tulisan menjadi lebih lancar dan berkesan. Kewujudan peribahasa adalah serentak dengan kewujudan sesebuah bangsa dan terus berkembang dalam proses manusia menyesuaikan dirinya dengan kehidupan sehariannya. Peribahasa telah digunakan untuk mengenal peradaban, di samping membuat ketentuan antara baik-buruk serta mencari ketetapan dalam tatacara hidup bermasyarakat.

Dalam menghasilkan peribahasa, tiga sumber utama digunakan oleh masyarakat penuturnya, iaitu yang pertama melalui pengalaman hidup khususnya dalam kalangan rakyat biasa, kedua melalui penaakulan para bijak pandai dan ketiga menerusi sumber yang didapati daripada kitab-kitab suci (Abdullah Hussain, 2003:vii). Hasilnya, peribahasa yang bermain di mulut orang Melayu bukan sahaja mendukung isi yang tepat dan kias ibarat yang tajam, malah ungkapan kalimat bahasa yang dihasilkan amat teratur, ringkas dan padat. Oleh itu, perlu disedari bahawa peribahasa dalam fungsinya menyampaikan pengajaran, teladan dan sindiran mempunyai ciri pelembut agar pendengar atau pembacanya tidak mudah terasa hati. Pada masa yang sama, unsur didaktik yang dibawa melalui peribahasa juga akan dapat memberi impak yang besar ke atas pemikiran serta perasaan mereka.

Peribahasa dikatakan sebagai susunan perkataan yang indah dengan maksud yang benar dan logik hasil daripada kecekapan berbahasa masyarakat Melayu. Peribahasa merangkumi simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, bidalan, perbilangan, kata-kata hikmah dan bahasa kiasan (HSP Bahasa Melayu Tingkatan 4, 2003:xiv). Setiap satunya mempunyai sifat dan tujuan yang tertentu. Simpulan bahasa ialah ungkapan yang terdiri daripada dua perkataan atau lebih dan mempunyai makna yang berlainan daripada erti perkataan yang membentuknya. Biasanya simpulan bahasa berkaitan dengan beberapa perkara iaitu tubuh badan, contohnya telinga kuali dan hati batu, haiwan, contohnya, buaya darat dan cicak kubin, tumbuh-tumbuhan, contohnya durian runtuh dan diam ubi, dan kata nama khas seperti Mat Jenin dan Abu Nawas. Terdapat juga simpulan bahasa yang bersifat bebas, contohnya juling air dan serkap jarang. (Za’ba,1965:151-157).

Perumpamaan pula merupakan peribahasa yang menyatakan sesuatu maksud dengan diumpamakan kepada sesuatu yang lain sehingga menerbitkan makna dua lapis. Istilah perumpamaan digunakan kerana sesuatu maksud itu dikaitkan atau diumpamakan dengan satu perkara lain yang setanding Ini bermakna perkataan yang diungkapkan mempunyai makna yang lain daripada erti perkataan yang dipaparkan. Malah Za’ba (1965:173) dalam hal ini menyatakan bahawa peribahasa yang tidak mempunyai erti dua lapis tidaklah boleh dinamakan perumpamaan yang berasal daripada bahasa kiasan.Perumpamaan terdiri daripada dua jenis iaitu yang menggunakan perbandingan dan yang tidak menggunakan perbandingan. Contohnya adalah seperti berikut,

Menggunakan perbandingan:

Bagai abu di atas tunggul

Seperti lipas kudung

Tidak menggunakan perbandingan:

Menyelam sambil minum air

Telunjuk lurus kelingking berkait


Pepatah pula lebih menitikberatkan sifat ringkasnya di samping ketepatan perkataan dan kebenaran pengajaran yang diungkapkan di dalamnya. Dengan kata lain, setiap patah perkataan yang digunakan membawakan unsur pengajaran kepada pendengarnya walaupun ada juga pepatah yang tidak memuatkan sebarang pengajaran secara khusus. Ungkapan pepatah adalah berasal daripada patah-patah perka
taan. Antara contoh pepatah Melayu adalah seperti berikut :

Indah khabar dari rupa

Alah membeli menang memakai


Sementara itu, bidalan merupakan peribahasa yang maknanya selapis sahaja, iaitu ungkapannya tidak membawa maksud yang lain daripada perkataan yang dipaparkan. Oleh itu, bidalan sering digunakan untuk memberikan teladan secara terus. Dalam hal ini bentuk bidalan terdiri daripada dua bahagian, iaitu menyatakan maksud yang hendak disampaikan, diikuti dengan unsur pematah atau pelengkap bagi maksud tersebut.Contohnya ialah seperti yang berikut :

Sesat di hujung jalan balik ke pangkal jalan

Cicir dipungut hilang dicari

Perbilangan mempunyai ciri seakan-akan bidalan dan pepatah, tetapi berbeza dari segi bentuk susunannya, iaitu pernyataan perkataan secara berangkap yang terdiri daripada dua baris atau lebih. Perbilangan biasanya disebut satu persatu seperti kaedah membilang dan isinya seringkali diungkapkan sebagai peraturan dan undang-undang. Berikut merupakan beberapa contoh perbilangan.

Perbilangan dua baris :

Kecil jangan disangka anak,

Besar jangan disangka bapa.

Hidup dikandung adat,

Mati dikandung tanah.



Perbilangan dua baris :

Yang berat sama dipikul

Yang ringan sama dijinjing

Hati gajah sama dilapah

Hati kuman sama dicecah

Selain itu, terdapat pecahan yang lain, iaitu kiasan dan kata hikmat. Kiasan atau bunga bahasa secara ringkasnya ialah ungkapan yang menghuraikan sesuatu perkara dengan mengiaskan dengan perkara lain. Tujuannya adalah untuk menjelaskan dan menegaskan lagi sesuatu maksud yang cuba disampaikan. Di samping itu kiasan juga bertujuan memaniskan kata ketika menyebut perkara yang tidak digemari oleh pendengar atau pembaca (Nik Safiah Karim dan Norliza Jamaluddin, 2003: 270-271). Kiasan biasanya menggunakan isyarat perbandingan, contohnya,

Mukanya terserlah seperti bulan purnama

Hatinya hancur bagai kaca terhempas ke batu

dan adakalnya tanpa isarat perbandingan, contohnya, ayam tambatan, mandi kerbau dan orang rumah. Menurut Za’ba (1965), kiasan terpecah kepada beberapa bahagian kecil iaitu kiasan sandar, contohnya tidur ayam; kiasan terus, contohnya kutu embun; kiasan berangkap contohnya, sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula atau sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan merasa; kiasan berbunga, kiasan pemanis kiasan melompat, tamsil, ibarat, kias ibarat dan tamsil ibarat. Sementara itu kata hikmah pula ialah perkataan bijak pandai yang mengandungi pengajaran dan pengertian yang tinggi. Ungkapan cendekiawan ini dijadikan nasihat, panduan dan pedoman hidup. Contohnya,

Bersatu teguh bercerai roboh

Pandu cermat jiwa selamat.

Dalam era globalisasi pada hari ini, penggunaan peribahasa amat penting dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Oleh itu, dalam era moden ini nilai dan norma masyarakat Melayu juga kadangkala tergugat akibat daripada penggunaan bahasa yang terlalu berterus terang dan terbuka. Namun begitu, dalam konteks masyarakat Melayu yang kaya dan mementingkan nilai norma serta adap sopan, sikap keterbukaan ini masih perlu dibataskan. Dalam kaitan ini, hati budi orang Melayu sebagai pemilik peribahasa ini akan dapat dikenali dengan jelas selaras dengan ungkapan “Bahasa Jiwa Bangsa” dan “Bahasa Menunjukkan Bangsa”.Oleh itu, penggunaannya dalam wacana penulisan, khususnyan dalam bidang pengajaran, amat sesuai dilaksanakan kerana ia secara tidak langsung dapat mendidik generasi muda menjadi warga yang berkeperibadian mulia.

Dalam konteks kemasyarakatan, peribahasa mempunyai dua tujuan utama, iaitu menyembunyikan ungkapan atau kata-kata kasar dan penghuraian sistem adat Melayu. Masyarakat Melayu sememangnya terkenal dengan budi bahasa yang lembut ketika berkomunikasi dengan pihak lain. Pada kebiasaanya, masyarakat Melayu tidak gemar berterus terang dalam menyatakan sesuatu yang tidak digemarinya. Contohnya, untuk meluahkan rasa marah terhadap perlakuan seseorang akan diungkapkan peribahasa yang berikut :

Siapa makan lada, dialah terasa pedasnya,

Lembu punya susu, sapi dapat nama

Menerusi peribahasa juga kata-kata kasar dapat dielakkan penggunaannya dan diganti dengan kata-kata yang lebih halus dan indah bagi menunjukkan rasa marah dan tidak puas hati. Contohnya dalam menyatakan badan seseorang yang terlalu kurus, maka digunakan peribahasa badannya melidi, sementara bagi menyatakan kebodohan seseorang diganti dengan ungkapan Pak Pandir.

Dalam membicarakan persoalan adat pula, peribahasa banyak mengungkapkan persoalan yang dihadapi oleh masyarakat dalam kehidupan sehari-hari. Dalam hal ini, perbilangan digunakan sebagai media untuk menyampaikan petunjuk dan pengajaran kepada tertentu khususnya golongan muda. Bagi masyarakat Melayu di Negeri Sembilan perbilangan masih digunakan dengan meluas dalam urusan adat dan interaksi sosial ahli masyarakatnya. Contohnya bagi menggambarkan ikatan kemesraan dan kasih sayang, digunakan perbilangan seperti berikut,

Merajuk pada yang kasih

Manja kepada yang sayang

Meminta kepada yang ada

Berkaul kepada yang keramat

(Za’ba, 1965:173)

Peribahasa Dalam Pendidikan

Dalam proses pengajaran-pembelajaran subjek Bahasa Melayu khasnya di sekolah, peribahasa mempunyai kedudukan yang sama penting dengan aspek lain. Hal ini kerana peribahasa berupaya untuk berkembang dan relevan dengan bahasa tersebut secara keseluruhannya. Dalam Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Tingkatan Empat, dalam bahagian Sistem Bahasa, perkara v, halaman xiv dinyatakan bahawa:

“Peribahasa...perlu diajarkan dalam pendidikan Bahasa Melayu. Pemilihan peribahasa... hendaklah mengutamakan falsafah, keperibadian dan nilai murni masyarakat Malaysia,... dan hendaklah diajarkan dalam konteks"

Dalam hal ini, jelas bahawa pembelajaran dan penghayatan peribahasa bertujuan meningkatkan keupayaan berbahasa dalam kalangan murid. Kemahiran berbahasa ini pula akan diteliti dalam konteks kebolehan pelajar menggunakan peribahasa dalam aktviti seharian dan penulisan. Hasil penulisan tentunya akan menjadi lebih indah dan bermutu sekiranya dimuatkan dengan peribahasa yang tepat dan sesuai.

Sehubungan itu, murid perlu diajar mengenai ciri dan penggunaan peribahasa secara mudah dan tepat. Namun begitu murid tidak seharusnya digalakkan menghafal sesuatu peribahasa seperti yang lazim dilakukan sebelum ini. Sebaliknya, mereka harus dirangsang agar menggunakan peribahasa dalam pelbagai situasi. Bagi mencapai tujuan ini, beberapa halangan perlu dihadapi semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Antaranya ialah kesukaran murid untuk mengingat sesuatu peribahasa ekoran sifatnya yang mempunyai pelbagai makna. Selain jumlah dan jenisnya yang banyak, sifat peribahasa yang hanya sesuai untuk keadaan tertentu telah menyebabkan minat dan kecenderungan untuk mempelajarinya menurun.

Selain itu, pengajaran berpusatkan guru turut menyebabkan pengajaran peribahasa tidak begitu berkesan. Guru memberikan penjelasan mengenai maksud peribahasa, manakala murid begitu pasif sebagai penerima maklumat. Akibatnya murid akan berusaha menghafal peribahasa yang diberikan dan tidak menghayatinya sehingga mereka menganggap peribahasa adalah sesuatu yang sukar untuk diperlajari (Koh Boh Boon, 1982:196-198). Justeru itu, sebagai jalan penyelesaian adalah dicadangkan agar pengajaran peribahasa di dalam bilik darjah menggunakan pendekatan kontekstual, iaitu guru bertindak sebagai fasilitator. Menerusi pendekatan ini, pengamatan perlu dilakukan mengenai hubungan antara perkara yang dibandingkan, diikuti dengan menyimpul makna yang simbolik dan terakhir dengan membuat penilaian terhadap ketepatan peribahasa berdasarkan konteks atau situasinya. Dengan cara ini, murid diajar menghayati peribahasa berdasarkan kontek dan situasi.

Dengan strategi pengajaran berdasarkan konteks ini, guru perlu bijak memilih peribahasa yang akan diajar. Guru dicadangkan agar memilih peribahasa yang mudah dan biasa digunakan dalam masyarakat. Guru juga harus mengetahui maksud dan pengertian serta penggunaan peribahasa yang diajar kepada murid. Berikut merupakan contoh pengajaran peribahasa mengunakan konteks situasi.

“...Remaja di kawasan perumahan itu sanggup menggadai nyawa untuk berlumba haram walaupun telah didiberi amaran beberapa kali oleh pihak polis”

Jelas sekali peribahasa menggadai nyawa di atas diungkapkan dalam bentuk yang tidak tepat. Peribahasa tersebut sebenarnya lebih sesuai bagi menyatakan perajurit negara yang berjuang mempertahankan tanah air atau pengorbanan yang suci dan bermakna. Justeru itu, peribahasa yang tepat bagi remaja yang berlumba haram seperti yang digambarkan dalam petikan tadi ialah menempah maut. Ini kerana, perbuatan yang dilakukan adalah tidak bermoral.

Penutup

Peribahasa ternyata begitu penting dalam pengajaran bahasa. Dengan adanya pengajaran dan pembelajaran peribahasa yang menarik dan berkesan, kemahiran berbahasa para murid akan dapat dipertingkatkan. Ini bukan sahaja dalam aktiviti penulisan ayat atau karangan, malah murid juga digalakkan untuk menggunakan bahasa kiasan ini dalam aktiviti lisan sama ada lisan formal atau sebaliknya. Lebih penting lagi, pengajaran peribahasa kepada generasi muda juga akan dapat memastikan warisan bangsa tidak terus dilupakan. Mereka juga boleh didedahkan dengan falsafah, pemikiran dan moral bangsa Melayu untuk dijadikan pedoman hidup. Secara langsung, hasrat negara menerusi Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek dan keperibadian akan mampu direalisasikan pada masa hadapan.

SIMPULAN BAHASA

SIMPULAN BAHASA

v Bentuk peribahasa yang paling mudah dan ringkas.

v Merupakan ungkapan yang biasanya terdiri daripada dua hingga tiga patah perkataan.

v Maksud perkataan berlainan sama sekali daripada maksud asal perkataan yang diungkapkan.

v Digunakan sebagai kiasan, teladan, pengaajaran, atau sindiran dalam ucapan atau penulisan.

v Boleh menjadi perumpamaan apabila ditambah dengan perkataan seperti laksana, bak, macam, bagai, seolah-olah, umpama, ibarat, dan seperti di depan simpulan bahasa tersebut.Contoh : macam lintah darat, bagai kacang hantu, seperti anjing dengan kucing.

v Boleh menjadi bidalan apabila di dahului oleh perkataan jangan.

Contoh : jangan berputih mata , jangan berkecil hati.


Jumaat, 30 Mac 2012


SELAMAT DATANG KE BLOG 
CIKGU ASFIZAH BT MOHD AMIR
SK. SERI SAUJANA,
KOTA TINGGI


PIJAK SEMUT PUN TAK MATI